Friday, January 14, 2011

cinta muslimah..:)


"Dalam hati teridam seorang jejaka, tinggi ilmunya soleh pula wataknya, namun kerana adab yang masih bertapa, takkan ku luah cinta ini padanya, takkan sesekali perigi mencari timba.Akhirnya adabku itu berbalas hampa, jejaka ku idam kini berpunya, tamatnya cinta dengan air mata.Akhirnya, aku redha dengan pilihan ibu, kerana cintaku sudah pun berlalu.Siapa tahu nasib diri ini, sangkakan panas ke petang rupanya hujan di tengahari, jauh disana malang yang menanti diri, kebahagiaan diharap tidak kemana pergi, suamiku jauh sekali dari yang aku jangka, indahnya hanya khabar dari rupa, hidupku berteman si air mata, sedang insan lain di mahligai bahagia".
 
 
Pilihlah Yang Terbaik Selagi Mana Ada
 
Purata  membuktikan kaum wanita lebih ramai daripada kaum lelaki, di kampus negara nisbah mahasiswi adalah 65% berbanding mahasiswa yang hanya 35%.Dalam institusi keluarga pula, pasangan ibubapa yang melahirkan anak perempuan lebih ramai berbanding pasangan yang melahirkan anak lelaki.
 
Ramai kaum wanita tercari-cari dan ternanti-nati, siapakah yang bakal hadir didalam hidupnya untuk bergelar suami.Terkadang saya dapati, seorang wanita yang solehah dirinya, baik rupa parasnya, cantik pula hati budinya, tetapi si suami seorang yang tidak bermakna baginya, isteri disisi dijadikan hamba, jauh sekali untuk memimpin amanah rumahtangga. Bertambah rugi apabila seorang muslimah yang mempunyai fikrah perjuangan, tapi suaminya pula menjadi penghalang, kerana suami tidak memahami erti perjuangan.
 
Terkadang seorang wanita itu solehah, tetapi suaminya seorang penagih dadah, dia tidak pernah menjangkakan, namun takdir Tuhan tak siapa mampu menghalang.Andai difikir di satu sudut, apakah Tuhan tidak adil baginya?, sebenarnya tidak sebegitu, semakin kurang nikmat kesenangan seseorang hamba, di akhirat nanti kurang jugalah soalan yang diajukan kepadanya.Sesungguhnya tuhan itu maha adil.
 
Pembaca yang budiman, sekalipun di dunia hidup bagaikan di penjara dan di akhirat nanti berbalas syurga, namun Allah tidak pernah menghalang untuk kita berlari untuk menggapai kebahagiaan hidup.Bahkan itulah matlamat hidup manusia, bahagia di dunia dan di akhirat, andainya tidak benar  takkan menyebut di akhir doa',
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
"Ya Allah Berikan Aku Didunia Ini Kebaikan, Dan Di akhirat Juga Kebaikan, dan Hindarilah Aku Dari Azab Api Neraka".
 
 
Adab Melayu Yang Disalah Timbang
 
Hanya kerana peribahasa "Perigi Mencari Timba" kita mudah tersalah anggap, melihat wanita melamar lelaki maka kita katakan itu menyalahi adab, benarkah begitu?atau kita yang dikurung stigma masyarakat dahulu.
 
Sejarah islamlah yang perlu diikuti, adab islamlah yang paling terpuji.Siti Khadijah telah menunjukkan bukti, bahawa seorang wanita melamar lelaki itu adalah satu amalan terpuji, sebagaimana beliau melamar Rasulullah SAW.Apakah dalilnya yang membuatkan kalian untuk terus menanti, sehingga "andartu" dilempar ke muka dahi.
 
Bukanlah saya bermaksud kaum wanita perlu menawarkan diri, tidak sesekali.Namun kalian perlu mengerti, luahan 'rasa' itu kadangkala tidak semestinya dengan lafaz yang difahami, bahkan bahasa kiasan terlalu luas untuk dijadikan wasilahnya, atau gunakanlah 'orang tengah' yangsepatutnya.Andaikata kalian tidak berani untuk melakukan revolusi diri, kalian sememangnya akan terus menanti berganti hari.Andai ditemukan dengan jodoh yang di mimpi-mimpi, pastinya selaut syukur kehadrat ilahi, dan andai sebaliknya, kalian tidak boleh menyalahkan sang pencipta, kerana kalian sendiri tidak berusaha, walhal ianya tidak pernah menyalahi agama, hanya adab yang menipu bangsa.
 
Benarlah sudah dijanjikan Tuhan wanita yang baik untuk lelaki yang baik, dan yang buruk untuk yang buruk jua, namun menjadi keharusan untuk kita memilih sesuatu yang terbaik.Pilihlah yang terbaik selagi kita mampu usaha, kerana ia akan menjadi sebahagian daripada kebahagiaan rumahtangga.Jadilah seorang muslimah yang bermotivasi, dan punyai keyakinan diri, jangan hanya menunggu redha terhadap apa yang mendatangi.
 
Ditolak bukan bererti anda hina, diterima tidak semestinya dapat bersama, selagi ijab qabul belum menamatkan lafaznya, pertunangan itu hanyalah sebagai tanda.Yakinlah setiap jawapan itu ada hikmahnya, dan keberanian kalian itulah sesuatu yang mesti dibangga.
 
Lakukan Revolusi Untuk Kebahagiaan
 
Sabda Rasulullah saw:
“Setengah daripada berkat perempuan itu iaitu segera dipersuamikan dan segera rahimnya itu kepada beranak dan murah mas kahwinnya.”
 
Masih ramai wanita yang "andartu' ke hari tua, dan sebenarnya mereka juga tidak pernah menjangkakannya sewaktu di usia muda, kerana itulah kita sewajarnya berusaha, usah tertipu dengan pepatah bangsa.
 
Fenomena di Universiti Al-azhar seorang wanita melamar lelaki bukanlah perkara luar biasa, namun anehnya kenapa mahasiswi tempatan tidak meneladaninya.Walhal mahasiswi tempatanlah yang lebih selayaknya, kerana bumi Azhari kaum hawa adalah sedikit berbanding kaum adam, dan kaum adamlah yang sepatutnya mencari sebelum hawa kehabisan 'ditanda' orang.
 
Universiti tempatan pula kaum adam adalah lebih sedikit berbanding kaum hawa, andai direnung sekali imbas, tak semua wanita akan bersuami andaikata seorang lelaki hanya memiliki seorang isteri.Maka revolusikanlah minda untuk menggapai bahagia, 'peganglah' andai sudah ada yang kita suka, janganlah terus terhimpit dengan peribahasa 'perigi mencari timba'.
 
Usah Terus Bermonolog
 
Seorang wanita solehah pastinya sentiasa bimbang dengan masa depannya, ingin sekali suaminya adalah pemandu hidup yang mampu memimpinnya ke syurga.Umur kian beransur ke hari tua, resah gelisah pastinya menerpa di dalam doa.Apatah lagi melihat potret rakan-rakan kebanyakannya sudah bergelar isteri, punyai suami dan sebahagiannya sudah pula melahirkan permata hati, seribu persoalan pastinya menggelegak didalam hati.
 
Saban waktu bermonolog seorang diri, tercari-cari di mana letaknya kebahagiaan diri, perit si hati hanya bertongkat sabar setiap hari.Semua ini akan terus tertinta di dalam diari, selagi kalian tidak melakukan revolusi.Bangunlah dengan berani, kalian adalah serikandi, jadikan diri generasi madani, berani dan yakin dengan diri sendiri.Peganglah, panas sejuk hasilnya, Tanggunglah, untung rugi risikonya.Yang pasti kalian mesti berusaha, yakinlah dengan pencipta yang tidak sesekali menghampakan hambanya.

No comments:

Post a Comment


ShoutMix chat widget